Siapa ingat bait lirik lagu puitis itu, pasti dalam kepalanya terngiang melodi lagu yang menyayat hati tersebut. Pemergian aku bersama rakan seperjuangan ke MASKARA9 mengundang nostalgia.
Bermula dengan nursery rhymes, lagu kanak-kanak, bait lirik lagu, kepada sajak penulis tersohor, hingga ke novel nukilan penulis nusantara. Makcik aku (tinggal dengan kami, babysit anak saudara dia sampai besar pokok pisang, kemudia berjumpa jodohnya) dulu jurusan sastera. Novel yang dia dianugerahkan bersempena dengan keputusan cemerlang semasa di sekolah menengah chenderong balai, dibelek oleh aku. Seorang tua di kaki gunung, Hikayat Malim Deman (bacaan wajib), koleksi cerpen perang oleh Arenawati, masterpiece Keluarga gerilya dan sebagainya, aku dah mula baca karya sastera yang berkualiti sejak dari kecil.
Nak katakan mutu bahasa Melayu aku bagus, tak mungkin. Walaupun dapat A1 masa SPM (aku tahulah taktik lembaga peperiksaan menaik dan menurunkan graf, pada hakikatnya masa periksa cikgu selalu bagi aku markah C), tapi hakikatnya aku bukanlah orang yang pantas berbicara bahasa Melayu dengan fasih. Aku lebih selesa bertutur dengan bahasa yang digelarkan sebagai ‘bahasa penjajah’. Rasanya lebih selesa. Acapkali aku buntu, kehabisan kosa kata. Kerap kali kata-kataku disalah tafsir, diambil sensitif. Itu dari segi pertuturan (speaking skills).
Dari segi pembacaan dan penulisan, aku kira, tak memalukan DBP dan Jabatan Bahasa Melayu (IPBA) sangat. Haha. Pernah aku cuba nasib, menghantar dua karya untuk lomba puisi (indon la pulak, hehe). Satu Bahasa Melayu, satu Bahasa Inggeris. Semasa keputusan diumumkan, hati aku debar, kerana aku harapkan karya aku terpilih. Malangnya tiada. Aku menulis tentang kemerdekaan. Kemudian keputusan untuk karya Bahasa Inggeris. Alhamdulillah aku menang tempat pertama. Dapat hadiah novel tulisan Michael Crichton, State of Fear. .
Kemudian aku terfikir, aku rasa pelik, aku suka karya Bahasa Melayu. Semangat bila dengar puisi. Meremang bulu tengkuk kalau dapat novel Melayu yang bagus (terus terang saya katakan, lambakan novel melayu picisan pop di pasaran merosakkan bahasa Melayu), tapi kenapa dari segi penulisan kreatif, bahasa ibundaku, kualitinya kurang? Sedangkan, kalau diikutkan, dari segi pendedahan, aku membaca penulisan kreatif dalam bahasa melayu, lebih awal dari bahasa inggeris. Dan aku dapat menghayatinya dengan baik.
Zaman aku kecil dulu, penuh dengan bacaan Bahasa melayu yang bermutu. Kini majalah Kuntum masih dijual, dengan harga RM2, namun anak-anak muridku kurang keinginan membelinya. Aku fikir, kanak-kanak sekolah rendah pasti mahu beli majalah yang ada cop Disney, Bratz, dsb (aku pun tak tahu sangat, aku tak baca majalah kanak-kanak ni). Dulu semasa jualan dari scholastic, pelbagai buku terjual. Bukannya murah. Barangkali kalau jumlah duit yang diberi kepada Scholastic itu dikumpulkan, cukup untuk biaya majalah Kuntum seorang satu (tahniah juga kepada scholastic kerana mengangkat karya yang bermutu, bukan nak bodek, tapi hakikat).
Zaman kini, aku fikir, mereka lebih berminat untuk menaikkan taraf bahasa Inggeris. Terus, apa akan jadi pada bahasa Melayu? Tambahan pula Bahasa Melayu Indonesia sememangnya mendapat tempat di hati pelajar bahasa antarabangsa. Karya untuk kanak-kanak dalam bahasa melayu semakin kurang.
Ah sudah. Panjang pula bebelan. Sambung lain kali. Perlu menulis rancanga mengajar harian. Esok pensyarah nak pantau.