Suatu masa dulu tatkala ketika aku berumur belia dan belum pernah menikmati cinta mana-mana lelaki, aku menemui satu cinta yang aneh sekali. (Aku tidak pernah mempunyai teman lelaki hinggalah lepas SPM. Itu azam aku.)
Perjalanan bas dari Jeddah ke Madinah agak mudah diingati. Suhu suam, tiada lambakan billboard dan R&R di sepanjang highway. Kalau ada tandas pun, kotornya aku tak pernah jumpa seumur hidupku. Walaupun tandas Malaysia kotor, di sana kekurangan tandas, dan tiada siapa peduli kebajikan nya.
Sampai sahaja di Madinah, tatkala itu tiada skyscrapers. Pembinaan sedang dilakukan. Sepanjang perjalanan ku ke Masjid Nabawi dipenuhi muka asing yang peramah. Kebanyakan warga Bangladesh dan warga tempatan berniaga. Melonggokkan barangan niaga mereka di tepi jalanan. Ada yang dah berniaga lama meletakkan barangan di dalam papan kayu yang mudah diangkat dan disimpan. Memori kepada Madinah lama sangat klasik dan tiada siapa boleh ambil nya dari kotak memori ku.
Namun ada satu memori yang aku kira asing, aneh dan perasaan ini kalau dicerita mungkin akan mengundang keanehan sesiapa yang membacanya.
Waktu itu aku masuk ke Masjid Nabawi bersama nenek-nenek dari Parit. Entah hidup lagikah mereka sekarang ini. Waktu itu dhuha. Matahari sedang panas dan aku berdoa “Ya Allah, berikanlah aku peluang untuk masuk ke Raudhah walau sekali”. Tatkala itu azam dan determination begitu kuat. Aku pandang celah mana yang kosong, aku selit. Aku jalan dulu mendahului mereka yang tua. Ku cuba dapatkan spot baik untuk kami semua. Selit punya selit, alhamdulillah berjaya.
Ku renung makam yang panjang dan besar. Walaupun manusia ramai, akan tetapi di Raudhah keadaan nya sangat tenang. Tidak seperti di kawasan tawaf di sekeliling masjid Haram itu. Subhanallah. Pemandangan yang sangat aneh tetapi dekat di hati. Ku doa segala yang aku mahu. Kupohon doa dan kuhadiah selawat untuk baginda yang agung. Tiba-tiba satu perasaan aneh masuk di hati. Aku menangis tak berhenti. Seolah-olah aku mencintai lelaki ini separuh mati. Aku jarang baca sirahnya secara mendalam. Hanya sekadar untuk melengkapkan syarat untuk gred A bagi SPM. Sejarah itu tidak masuk di hati. Namun perasaan ini benar-benar sukar dilupakan kerana aku belum pernah lagi mencintai lelaki yang bukan ahli keluarga ku.
Kenapa aku menangis?
Kenapa aku rasa sebak?
Kenapa aku rasa macam ada orang yang begitu mengambil berat padaku?
Macam seolah olah sakit di ulu hati. Tetapi tenang di jiwa.
Air mata meluru laju tatkala aku menaip kenangan ini.
Ku katakan pada baginda “mudahkanlah aku untuk berjumpa dengan mu sekali lagi di lain kali”
Dan aku adalah sang kekasih yang sangat merindui untuk berada di sisi mu sekali lagi. Cinta yang kau wujudkan dalam hatiku, tiada siapa yang dapat merasanya. Aku rindu padamu ya Rasulullah. Aku benar-benar rindu. Sakit benar rasanya dalam dada bila aku rindu padamu.
Kita tidak bertemu jasad. Aku hanya menziarahi makam mu. Akan tetapi ku dapat rasa roh dan perasaan mu kepada ku.
Tiada pria yang mampu jadi seperti mu. Tiada jiwa sekudusmu. Tiada cinta ku dahulukan sebelum mu. Hatta cinta ku pada suamiku.
Kini aku faham mengapa mereka menutup makam mu pada satu senggat waktu. Pengawal di makam mu sangat menghormati roh mu. Tidak mahu perebutan. Tidak mahu ada yang terabai. Seluruh pelosok dunia mahu berada di satu kawasan hijau dalam Masjid Nabawi. Aku dapat rasakan keberadaanmu. Walaupun aku tidak tahu perasaan apa ketika itu. Setelah diamati dan dikaji, oh inilah cinta yang agung.
Allahumma solli ala Muhammad. Wa ala alihi wa sohbihi wasallam.
————————-
Kantoi nanges.