Melestarikan ummah madani

Bunyinya seperti tak tercapai bintang di langit, namun itulah tugas guru yang sejati. Memperkasakan ummah bukan sahaja peranan pemimpin, akan tetapi ia bermula sejak dari seorang manusia itu kecil, dan seorang guru yang menerapkan nilai-nilai jati diri yang tinggi. Melestarikan ummah madani memerlukan prinsip hidup yang kuat, persekitaran yang membina dan hubungan sosial yang membantu melestarikan pemikiran ummah madani. Kelihatan agak sukar untuk melaksanakan tanggungjawab ini namun ianya bermula dengan niat baik seorang guru. Hayatilah beberapa kisah yang saya ingin kongsi bersama.

Salah seorang anak didik saya demam sehingga 39 darjah celcius. Saya gagal untuk menghubungi ayahnya pada mulanya namun selepas itu beliau menghubungi saya semula. Insya Allah saya takkan lupa perbualan ini sampai akhir hayat.

Guru: Anak encik demam. Dah 39 darjah celcius ni. Minta datang ambil dan hantar ke klinik ya?

Bapa: Minta maaf cikgu. Saya bertugas dari 7 hingga 7. Saya pun cikgu juga. Tadi saya sedang bermesyuarat. Kalau boleh cikgu bagi dia berjalan kaki balik ke rumah (kurang 1km jarak rumahnya dengan sekolah). Saya mengajar di SIGS. Nak ambil susah la cikgu.

Guru: Tak mengapa encik. Nanti saya minta tolong guru yang lapang untuk hantar anak encik. Kalau tidak pun, saya suruh dia berehat di sickbay sahaja.

Bapa: Terima kasih banyak-banyak cikgu.

Terasa sebak bila seorang bapa berkorban untuk anak orang lain tatkala anaknya sendiri kurang sihat. Inilah pengorbanan guru sejati. Teringat kata-kata ibu saudara saya yang telah mendapat Anugerah Warden peringkat kebangsaan bila orang bertanya “Takpe ke tinggal anak kat rumah?” Jawabnya:

“Tak apalah. Kita jaga anak orang. Allah jaga anak-anak kita”

Terkedu saya dengan jawapannya. Ibu saudara saya cukup bertuah. Dilahirkan dan diberikan pendidikan agama secukupnya dan mengaplikasikan Baitul Muslim pada keluarganya dengan sebaiknya. Kesemua anaknya menghafal al-Quran dan salah seorangnya bergelar Hafizah di Terengganu. Masya Allah. Anak-anak soleh adalah harta yang tak ternilai, yang boleh kita bawa bersama ketika mati kelak. Anak-anak inilah yang akan mewujudkan masyarakat madani apabila mereka berkeluarga kelak.

Oleh itu, pendidikan dan bimbingan kerohanian adalah tunjang utama dalam melaksanakan impian ummah madani. Bermula dari sebuah rumah, kemudian masyarakat, seterusnya sebuah negara dan akhirnya ke kesatuan ummah. Ingat, pembangunan insan bukan sahaja bersifat individu, namun pada skala masyarakat. Dalam teks perutusan tahun baru 2010 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, beliau menyentuh tentang human develoment yang berteraskan pendidikan berkualiti. Inilah tanggungjawab sebenar guru di era NKRA.

Semoga beban kerja sampingan yang menghantui guru akan dapat dikurangkan dan mudahan kita semua dapat melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan sebaiknya.

Pautan: Teks penuh perutusan tahun baru 2010 oleh YAB Tan Sri Muhyiddin B. Mohd Yassin

Leave a Reply

Your email address will not be published.